Saturday, March 12, 2011

Dunia ibarat sebuah kapal layar

Dunia ini adalah ibarat sebuah kapal layar yang sedang menuju ke sebuah pelabuhan yang aman, iaitu akhirat. Kapal yang sedang dilayari ini tidak diketahui datangnya dari alam mana.

Ditengah-tengah pelayaran, kapal ini berhenti di sebuah pulau bernama "Dunia". Di sini penumpang-penumpangnya berehat sementara bagi mencukupkan sebarang keperluan kecil dalam pelayaran seterusnya ke pelabuhan bahagia.

Rumput-rumput di pulau persinggahan ini terlalu indah, pantainya putih bersih .

Kapten kapal mengizinkan para penumpangnya turun sebentar untuk beristirehat sambil melihat-lihat. Beliau berpesan, jangan ada daripada mereka yang lalai apabila terdengar isyarat kapal akan meneruskan pelayarannya.

Sebahagiannya patuh kepada peringatan kapten, tetapi sebahagiannya lalai dan terleka dan mendapati tempatnya dikapal itu telah diduduki orang. Sebahagian besarnya pula terus leka dan lalai bahawa pelayarannya masih jauh. Dia terpengaruh kerana terpesona dengan keindahan pulau yang disinggahinya itu, seolah-olah tiada tempat lain lagi seindah itu.

Berkali-kali loceng kapal dibunyikan memanggil penumpang naik ke kapal, tetapi dia membuat endah tak endah sahaja dengan panggilan itu. Akhirnya kapal membongkar sauhnya dan belayar menuju alam aman dan bahagia, sedangkan yang lain tinggal di pulau itu.

Apabila mereka telah berjalan dari pangkal ke hujung pulau itu, barulah disedari bahawa pulau itu bukan tempat sebenar yang dituju. Disitu dia dikeliling air, dia menyesal, tetapi penyesalan itu tidak berguna lagi. Kapal telah semakin jauh meninggalkannya. Dia menangis dan meraung meminta diambil semula.

Orang-orang tiada lagi yang jadi kawan, dan kapal lain tiada lagi yang datang. Sesal bertimpa-timpa, hari bertambah gelap, malam menyerkup suasana. Maka berkeliaranlah ular, kala, lipan dan binatang-binatang berbisa keluar dari sarangnya hendak menerkam dan menggigit. Makin lama makin bertambah banyak mengancam.

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...